Islam adalah agama yang menetapkan umatnya bersikap wasath.
Meskipun wasatiyyah kemudian diterjemahkan sebagai kesederhaan atau moderate
namun ia tidak menepati dimensi wasath yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan yang
dipraktiskan dalam al-Sunnah. Prof Dr Shaykh Yusuf al-Qaradawi antara yang
banyak menulis dan memberikan komentar terhadap konsep pemikiran wasatiyyah
dalam bukunya.
Al-Wasath menurut Imam Ibn Kathir r.h. dalam tafsirnya
adalah ‘pilihan yang terbaik’, ummatan wasath adalah umat yang sentiasa membuat
pilihan yang terbaik berdasarkan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah. Seerti
dengannya adalah khayra ummah yakni umat yang terbaik. Wasath juga seringkali
dinisbahkan sebagai al-`Adl (keadilan) dan al-Hikmah (kebijaksanaan). Semuanya
berkenaan dengan melakukan sesuatu pada tempat yang terbaik, masa terbaik,
keadaan terbaik, pemilihan terbaik dan seumpama.
Semua sifat dan sikap di atas hanya dapat dicapai dengan
ilmu, dan sebagai seorang Muslim yang mana Islam adalah agama yang meletakkan
ilmu dan aktiviti keilmuan (intelektual) di tempat sangat utama dan tinggi,
istilah murid (mim-waw-ra-ya-dal) yang bermaksud orang yang berkehendak
(barangkali istilah ini kemudian dipinjamkan dalam bahasa Melayu menjadi
‘murid-murid’) adalah istilah yang sesuai bagi seorang Muslim yang sentiasa
cintakan ilmu secara kolektif dan bukan secara partikal sahaja.
Justeru sebagai seorang murid paling tidak ada empat perkara
yang mesti dihapuskan dalam diri seseorang itu:
1. Taqlid buta: Mengikuti seseorang, amalan atau pemikiran
tanpa ilmu yakni hujah dan dalil yang sahih daripada al-Qur'an dan al-Sunnah
khususnya dalam bab aqidah dan ibadah 2. Ta`asub: Kepada diri sendiri, individu
(biasanya dalam ajaran sesat dan pengikut memang dimanipulasi untuk ta`asub
kepada kesaktian yang direka-reka, kumpulan (biasanya dalam jemaah atau parti
politik) dan ideologi (Komunisme, Nasionalisme, Liberalisme, Feminisme dll.) 3.
Jumud: Menyempitkan ajaran agama yang luas berdasarkan kefahaman sendiri yang
tidak menepati Islam sebagai agama rahmat 4. Ghuluw: Melampau dalam segenap
segi sama ada dalam memudahkan dan menyusahkan, menghalalkan pertumpahan darah
atas nama agama dan melakukan sesuatu atas nama agama sedangkan tidak menepati
langsung ajaran agama itu sendiri.
Apabila bertaqlid buta tanpa ilmu yang sahih berasaskan
al-Qur’an dan al-Sunnah, seseorang akan menjadi ta`asub secara membabi buta,
seterusnya menjadi sangat jumud dan akhirnya membuahkan tindakan
ekstrem/melampau yang mungkin diyakininya atas nama agama namun hakikatnya atas
kehendak nafsu individu yang berkepentingan.
Keempat-empat ciri ini adalah antara berpunca daripada
kejahilan individu dan masyarakat yang akhirnya menyebabkan fitnahnya terpalit
kepada Islam semula. Banyak perkara yang terpesong daripada aqidah dan syariat
Islam berpunca daripada empat sikap ini yang menguasai individu dan masyarakat
Muslim. Contoh yang paling mudah adalah dengan meninjau modus operandi ajaran
sesat yang muncul selama ini.
Syria, Syiah dan Malaysia
Krisis kemanusiaan di Syria yang masih berlanjutan
menyebabkan pelbagai persoalan muncul dalam mencerap apakah isu sebenar di sana
dan apakah pula jalan penyelesaiannya? Secara umum ada tiga isu berlegar di
sana iaitu; 1. Pertembungan Syiah dan Sunni, 2. Pertembungan negara blok
Sosialis dan blok Kapitalis, 3. Pertembungan mauqif (ketetapan pendapat) sesama
ulama sunni sendiri termasuk gerakan Islam dalam isu Syria.
Lebih menarik, isu Syria juga menyemarakkan kembali isu
komuniti Syiah di Malaysia sehingga ia semakin diberi perhatian dan dibincangkan
di media dan masyarakat awam. Komuniti Syiah dan ajarannya dianggap sebagai
ancaman kepada kedamaian dan kerukunan masyakarat Muslim Malaysia yang
berpegang kepada Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Masyarakat awam dikejutkan dengan pelbagai data yang mengkhabarkan
bagaimana ramainya dan suburnya ajaran Syiah di Malaysia bahkan pihak komuniti
Syiah sendiri mendakwa penganut Syiah sudah mencecah ratusan ribu orang
meskipun dinafikan oleh pihak berkuasa berkaitan agama Islam negeri dan
peringkat kerajaan pusat.
Terbaru, pihak berkuasa berkaitan agama Islam melakukan
penangkapan dua orang individu yang disyaki penganut Syiah kerana hanya
memiliki bahan bacaan Syiah. Ini menimbulkan respon yang pelbagai. Sebelum ini
juga ada beberapa tangkapan dan serbuan dibuat terhadap komuniti dan tempat
ibadah ritual (hauzah) penganut Syiah malah ada yang didakwa.
Persoalannya, apakah ada undang-undang untuk menyekat
penganut fahaman Syiah dan apakah tindakan undang-undang adalah jalan yang
terbaik bagi mengekang fahaman Syiah terus berkembang dalam masyarakat
Malaysia?
Respon di media massa
Meskipun media massa perdana milik kerajaan giat mengadakan
bual bicara dan laporan berita bagi memberikan penerangan kepada rakyat
Malaysia secara umum mengenai Syiah namun media alternatif yang menjadi tumpuan
utama generasi gajet dan jalur lebar banyak menerbitkan artikel, rencana
mahupun surat pembaca yang menyatakan bantahan terhadap apa yang dilakukan oleh
pihak berkuasa kepada komuniti Syiah di Malaysia.
Kebanyakan tulisan ditulis dengan nada bahasa undang-undang
dan hak asasi manusia (HAM) yang dilihat membela dengan mengatakan bahawa
komuniti Syiah mempunyai hak untuk mempraktiskan dan mengamalkan kepercayaan
mereka. Sedangkan bagi pihak berkuasa berkaitan agama Islam (kerana hanya
Malaysia yang ada!) dan masyarakat awam di Malaysia mereka adalah ancaman.
Atas dasar Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan
demokrasi dan kebebasan bersuara, tindakan bersifat undang-undang yang diambil
kepada penganut ajaran Syiah dilihat sebagai suatu bentuk penindasan kepada
komuniti minoriti dan amalan ajaran yang berlainan dengan pegangan umum Muslim
di Malaysia.
Sedangkan hujah yang digunakan untuk melawan mereka adalah
hujah bersifat keagamaan (theology) dan hanya dipandang sebagai bersifat
berkepentingan dan manipulatif oleh pihak berkuasa agama. Hujah agamawan dan
pegawai kerajaan ini juga pastinya dipandang lekeh dan pesimis oleh golongan
yang cenderung kepada perjuangan HAM dan kebebasan bersuara mutlak.
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang selaku presiden PAS dilihat cuba
meredakan ketegangan dengan mengajak kerajaan dan masyarakat menilai isu Syiah
secara ilmiah dan akademik bukan daripada perspektif politik semata-mata. PAS
sentiasa dilihat lunak dalam menangani isu Syiah dan konsisten dengannya
manakala Umno melalui jentera kerajaan dilihat oleh PAS sedang menangguk di air
keruh dalam isu Syiah di Malaysia ini. [lihat http://bm.harakahdaily.net/]
Masyarakat perlu dibijakkan melalui wacana
Syiah adalah realiti yang wujud ribuan tahun malah tidak
dapat dipisahkan lagi daripada sejarah dan ketamadunan Islam dan dunia itu
sendiri. Meskipun ada usaha dan pendapat menyatakan Syiah bukan daripada Islam
kerana perbezaan ketara dalam usul `aqidah (fundamental) dan ritual ibadat
mereka yang pelik dan ekstrem (dari kaca mata ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah
malah fitrah kemanusiaan sekalipun), namun untuk menghapuskannya sama sekali
adalah suatu kemustahilan.
Ini kerana Syiah adalah entiti sejarah yang seiring dengan
sejarah perkembangan Islam itu sendiri dan Syiah juga dari awal menjenamakan
diri mereka sebagai sebahagian daripada Islam melalui penggunaan istilah
seperti - Muslim Shi`i, Islamic Republic of Iran (Republik Islam Iran), Mullah,
Ayatullah, Hizbullah dan seumpamanya. Dari sudut akidah, meskipun Sunni dan
Shi`ah mempunyai beza yang ketara, namun Allah dan Nabi Muhammad tetap adalah
Tuhan dan Rasul yang diimani bersama.
Hal berkaitan istilah ini bertepatan dengan ulasan Prof Dr
Tariq Ramadan dalam artikelnya berjudul Beyond Islamism di mana beliau
menyatakan kekeliruan istilah menyebabkan kesan yang besar dan fatal kepada
Islam secara keseluruhannya. Menurut beliau dalam mengulas mengenai politik dan
gerakan Islam:
“Second: the
problem of terminology. Confusion is rampant; no one knows exactly who or what
“Islamism” means. The term, which has now become powerfully pejorative, can be
applied to movements ranging from al-Qaeda (worldwide, and most recently in
northern Mali) to the legalists of Ennadha and the Muslim Brotherhood by way of
the Justice and Development parties in Turkey and Morocco (with certain
reservations), and up to and including the Iranian regime. It is hard to
believe that the confusion is being maintained, and the terminology being
utilized purely by chance. Meanwhile the petro-monarchies of the Gulf, those
wealthy allies of the West, whose authorities affirm that democracy is
un-Islamic, regimes that apply the Shari’a in its most legalistic and
repressive form and that forbid women from social and political participation,
are never described as “Islamists” even though their policies and practices
form the essence of political Islam.” [lihat http://tariqramadan.com/, Monday,
5 Ogos 2013]
Justeru, tindakan yang tepat dalam memikirkan bagaimana
mengekang Syiah supaya ia tidak menjadi ancaman kepada kestabilan beragama dan
politik di Malaysia adalah melalui kesedaran ilmu. Menggunakan undang-undang
pastinya bukan cara yang terbaik malah hanya memberikan kredit dan meningkatkan
simpatisme kepada mereka. Jalan yang terbaik adalah dialog dan wacana terbuka
antara ilmuwan kedua belah pihak versi Malaysia.
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada akhir
siaran langsung mengenai Syiah dalam TV1 beberapa minggu lepas meminta secara
terbuka kepada RTM supaya melakukan wacana dan debat secara terbuka dengan
Syiah di Malaysia. Permintaan itu wajar disambut oleh RTM dan mana-mana agensi
media kerajaan kalau mereka mahu dilihat serius dalam menangani isu ini dan
tidak hanya bersifat retorik politik semata, jika tidak kerajaan akan dinilai
sebagai tidak ikhlas dalam isu ini dan hanya memikirkan political milleage
pimpinan dan parti politik tertentu sahaja.
Dalam masa yang sama, penulis mendapat maklumat bahawa ada
usaha yang sedang dilakukan bagi dianjurkan dialog, wacana malah debat oleh
agensi media bebas seperti Karangkraft melalui Wacana Sinar Harian yang boleh
dikatakan sebagai fenomena baru kepada dimensi wacana intelektual masyarakat
Malaysia mutakhir ini.
Karangkraft melalui akhbar Sinar Harian dilihat menjuarai
hal itu dan tidak pelik mengapa kini Sinar Harian menjadi akhbar alternatif
paling laris di pasaran berbanding akhbar perdana lain. Kita doakan supaya
usaha serius dapat dilakukan bagi wacana terbuka antara sarjana yang mewakili
blok Sunni dan Syiah menjadi kenyataan dan Syiah juga bersedia untuk menyahut
cabaran itu.
Mendorong masyarakat membaca mengenai Syiah
Hendak dapat tidak masyarakat mesti didedahkan malah mereka
sendiri perlu dididik untuk meningkat daya inkuiri (ingin tahu) mereka secara
semulajadi dan tidak hanya bergantung kepada sumber media popular yang bersulam
propaganda, bias dan bersifat politik. Masyarakat perlu diberi wacana ilmiah
bagi mendorong mereka berfikir untuk mencari jawapan melalui pembacaan dan
penilaian mereka sendiri.
Ya, tanpa menafikan bahawa bukan semua orang mempunyai asas
ilmu dalam Islam khususnya mengenai perkembangan dalam sejarah, aliran
pemikiran, mazhab dan apa sahaja mengenai Syiah kerana kebanyakan sumber adalah
dalam bahasa Arab dan rujukan utamanya dalam bahasa Parsi.
Bahasa Arab sudah dikira sebagai bahasa kedua manakala
bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga dalam membicarakan mengenai Syiah.
Mengkaji dan membaca tulisan daripada ulama Sunni pasti menyebabkan sesuatu
penilaian akan bersifat satu hala sahaja, apatah lagi jika ulama tersebut tidak
dapat merujuk kepada sumber primer Syiah dalam bahasa Parsi itu sendiri. Bacaan
jurnal ilmiah berimpak tinggi adalah satu kemestian bagi mereka yang serius
ingin memahami Syiah namun tetap bergantung kepada objektiviti pengkajinya.
Bagi berlaku adil dalam penilaian ini, sewajarnya sumber
Syiah dalam bahasa Parsi dirujuk sama bagi menilai apakah sebenarnya kedudukan
Syiah itu. Justeru, kemunculan sarjana Nusantara yang mengkaji secara serius
mengenai Syiah di peringkat pengajian tinggi adalah suatu perkembangan yang
wajar dihargai. Namun bagi bacaan awal, buku dalam bahasa Melayu, Indonesia dan
Inggeris bagi orang awam sedikit sebanyak akan membantu membuka dimensi yang
lebih luas dalam perbincangan ini.
Antara buku popular yang boleh disyorkan dan mudah didapati
di pasaran berbahasa Melayu dan Indonesia adalah Apa Itu Syiah? tulisan Prof Dr
H. M. Rasjidi terbitan Al-Hidayah Publisher Sdn. Bhd., Kenapa Aku Keluar Syiah?
tulisan Syeikh al-`Allamah Dr Hussain al-Musawi terbitan kerajaan negeri Kedah
semasa pemerintahan PAS (dapatkan juga versi Indonesia dengan judul Mengapa
Saya Keluar Dari Syiah: Kesaksian Penulis Sebelum Dibunuh), Agenda Politik
Syiah: Dendam Warisan dalam Mencari Pemimpin Umat tulisan Prof Madya Dr Kamaluddin
Nurdin terbitan PTS Media Pro Sdn. Bhd. Antara yang paling menarik dan ilmiah
adalah Jurnal Pemikiran dan Peradaban Islamia terbitan INSIST, Vol. viii, No.
1, April 2013 dengan tajuk Ahlusunnah dan Shi`ah: Beda Akidah, Shari`ah atau
Politik?.
Kesimpulan
Barangkali ada pihak beranggapan bahawa wacana terbuka hanya
menjadi pentas bagi mempromosi dan mengiktiraf Syiah itu sendiri, pastinya
tidak salah hujah dan pemikiran yang begitu, namun fikirkan manfaat yang
sebaliknya jika wacana diadakan dan persediaan yang rapi dan mantap dari sudut
ilmiah dan intelektual dilakukan oleh kedua-dua pihak, kenapa mereka (wakil
Sunni dan Syiah) perlu takut untuk masyarakat awam termasuk bukan Islam menjadi
hakim kepada kebenaran jika benar mereka masing-masing di pihak yang benar?
Penulis yakin sarjana yang mempunyai autoriti dalam
mendokong Syiah di Malaysia cukup layak untuk dipertemukan dengan sarjana Sunni
di Malaysia. Keyakinan tinggi kedua-dua belah pihak ini akan melahirkan wacana
tinggi berkualiti dan ini adalah budaya intelektual yang menguntungkan
masyarakat secara umumnya.
Dengan padang yang sama rata dan sikap matang rakyat dengan
terlebih dahulu melenyapkan pengaruh emosi hasil daripada taqlid buta, ta`sub,
jumud dan ghuluw masyarakat Malaysia menuju ke era budaya ilmu yang sihat,
budaya ilmu tinggi dan mengembalikan kegemilangan tamadun dengan membina
manusia yang mencintai ilmu. – 22 Ogos, 2013.
* Zahiruddin Zabidi ialah seorang penulis.(di petik dari
www.themalaysianinsder.com)